Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG – Seorang pelajar tingkatan dua seolah-olah dapat mengetahui akan ajalnya apabila dia memuat naik sekeping gambar jenazah sedang dikucup di dalam Instagramnya sebelum dia meninggal dunia kelmarin.
Mangsa, Mohamad Hairul Sulam, 14, maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah, Taman Kluang Perdana di sini.
Remaja itu memuat naik status tersebut beberapa jam sebelum motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangnya terbabas di persimpangan lampu isyarat di taman tersebut.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bapa mangsa, Sulam Surip, 47, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali pada pukul 8.50 malam.
“Semasa menerima panggilan itu, saya sedang memandu lori di Melaka dan menghubungi isteri (Hamidah Abdul Kadir) bagi bertanyakan mengenai kesahihan berita tersebut.
“Selang beberapa minit kemudian, isteri menghubungi semula dan mengesahkan anak kami maut kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini semalam.
Artikel berkaitan : Remaja 14 tahun terbunuh, motosikal terbabas
Sulam memberitahu, dia dan keluarganya reda dengan pemergian anaknya walaupun arwah begitu rapat dengannya.
Arwah merupakan satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik dan kali terakhir Sulam bertemu dengan arwah anaknya kira-kira dua minggu lalu.
“Biasanya, jika pulang ke rumah arwah sudah tidur. Dia seorang anak yang baik dan pendiam, namun ada masa kami bergurau.
“Sebelum kejadian, dia sempat mengemas kini gambar jenazah dengan kain kapan sedang dikucup seseorang dalam InstaStory,” katanya.
Jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan di sini selepas selesai bedah siasat.
Dalam pada itu, Sulam merayu mana-mana individu yang menjumpai telefon bimbit mangsa jenis Iphone 7Plus supaya mengembalikannya semula.
“Telefon bimbitnya tiada di lokasi kejadian kemalangan. Jadi saya rayu kepada sesiapa yang terjumpa atau terambil supaya menghubungi saya di talian 019-5777 943,” katanya.-K! ONLINE