PETALING JAYA – Kejadian gempa bumi merupakan sesuatu bencana yang tidak boleh diramal mengenai kedudukan serta magnitudnya, tegas Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
MetMalaysia melalui hantarannya di Facebook memaklumkan, kekuatan gempa bumi itu hanya mampu diramal semasa bencana tersebut sedang berlaku.
“Tahukah anda, Gempa bumi tidak boleh diramal. Hanya apabila ianya berlaku, barulah ia dikesan dan dianalisa untuk diketahui lokasi serta kekuatan gempa tersebut,” katanya dalam hantaran tersebut.
Hantaran tersebut turut berkongsikan magnitud tertinggi yang pernah berlaku di Sabah adalah di daerah Beluran yang mencatatkan 3.8 magnitud pada tahun 2022 diikuti daerah Kundangsang, 3.7 magnitud pada tahun yang sama.
Terdahulu, media tempatan melaporkan pakar meramalkan Malaysia tidak terkecuali bakal menghadapi risiko gempa bumi skala besar berikutan beberapa siri bencana alam itu di Turki, Jepun dan Indonesia dalam tempoh dua bulan lalu.
Ramalan tersebut menyatakan, bahagian kawasan semenanjung Malaysia dijangka mengalami gempa bumi sehingga 6 magnitud dan di Sabah pula boleh mencapai sehingga 7 magnitud. – KOSMO! ONLINE.