KUALA LUMPUR – Padah membuat hantaran jelik dalam laman sosial Facebook dengan membangkitkan isu perkauman dan menghina Agong, seorang buruh dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim N.Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Abdul Rahim Abdullah, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan pertama, OKS didakwa menggunakan laman profil Facebook “Tuk Chik” secara sedar membuat dan memulakan komunikasi yang jelik sifatnya (isu perkauman) dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan itu dilakukan pukul 3.34 petang pada 25 Januari lalu, yang kemudian yang telah dibaca pukul 5 petang di sebuah restoran pada 8 April lalu.
Sementara untuk pertuduhan kedua hingga keempat OKS didakwa menggunakan laman profil sama secara sedar membuat komunikasi sama (hina Agong) dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 10.52 pagi hingga 11.26 pagi pada 2 dan 3 April lalu yang kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, pukul 10.45 pagi, pada 5 April lalu.
Bagi kesemua pertuduhan itu, OKS didakwa mengikut Sesyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara empat bulan bagi tiga lagi pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.
Terdahulu semasa prosiding, Abdul Rahim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan kerana menyesal dengan kesalahannya.
“Saya kesal dan memohon maaf kepada insitusi diraja dan tiada niat untuk provokasi mana-mana pihak,” katanya.
Bagaimanpun Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya mesej dapat disampaikan agar masyarakat luar tidak melakukan kesalahan sama. – KOSMO! ONLINE