fbpx

PRN Selangor: Rundingan kerusi PH, BN selesai awal bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin bersama penerima pada majlis itu yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan selesai selewatnya awal bulan depan.

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan lanjut masih dijalankan antara kedua-dua gabungan itu atas semangat Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau yang juga Menteri Besar Selangor, pihaknya menyasarkan untuk memuktamadkan sekurang-kurangnya 80 peratus pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Perbincangan masih berjalan dengan baik meliputi pelbagai perkara dan saya jangka ia selesai hujung bulan ini atau awal Mei nanti.

“Keputusan itu kelak akan dibentangkan kepada pimpinan Pusat untuk dimuktamadkan sepenuhnya sebelum tarikh penamaan calon PRN,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan insentif khas Aidilfitri kepada penggerak masjid dan guru rakyat di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Insentif berjumlah RM2.3 juta itu disalurkan kepada lebih 4,700 penerima dan melibatkan 432 masjid di negeri ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya menyambut baik cadangan UMNO mahu mewujudkan jawatankuasa Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

“Kerjasama itu sememangnya sudah wujud dan langkah berkenaan juga akan bersesuaian dengan konvesyen khas pada 14 Mei depan,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, guru agama rakyat kali pertama disenaraikan menerima insentif sebanyak RM500 berkenaan tahun ini.

“Pada 2019 dan 2020, penggerak masjid iaitu nazir, imam rawatib, bilal dan siak rawatib ditetapkan menerima RM400 setiap orang.

“Namun, bermula 2021 sehingga kini, insentif kepada golongan itu dinaikkan kepada RM500 bagi membantu meringankan beban persiapan Aidilfitri,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI