SABAK BERNAM – Cuti kira-kira 117,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dibekukan sebagai persiapan bagi penugasan sepanjang perayaan Aidilfitri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya 10 peratus daripada keseluruhan 130,000 pegawai dan anggota dibenarkan bercuti dalam tempoh berkenaan.
“Biarpun musim perayaan, penugasan PDRM amat penting untuk menjaga keselamatan dan mengekalkan keamanan negara.
“Kita akan memberi cuti selepas perayaan secara bergilir-gilir bagi memastikan aspek keselamatan tidak terjejas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama penduduk Sungai Haji Dorani, Sungai Besar di sini, malam ini.
Menurut beliau, susunan cuti itu mengikut formula sebelum ini iaitu 90 peratus bekerja manakala bakinya bercuti.
“Pemberian cuti itu dibuat secara adil dan semua perkara perlu diambil kira seperti penugasan kawalan trafik yang meningkat pada musim perayaan.
“Selain itu, elemen keselamatan lain diberi tumpuan kerana orang ramai pulang ke kampung dan meninggalkan kediaman atau premis perniagaan,” ujarnya.
Jelas Saifuddin, polis turut memberi tumpuan mempertingkatkan keselamatan di semua pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) seluruh negara bagi mengekang pencerobohan di perairan negara seperti penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI).
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 409 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM menerima elaun kawalan rapat kenamaan sebanyak RM525 sebulan berkuat kuasa Februari lalu.
“Elaun khas itu bagi menghargai peranan dan tugas UTK yang sentiasa berdepan risiko keselamatan tinggi.
“Proses latihan mereka (anggota UTK) berat dan mempunyai penugasan spesifik,” katanya. -KOSMO! ONLINE.