fbpx

JIM Sabah hantar pulang 182 PATI warga Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 182 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri Sembilan melalui Pelabuhan Tawau semalam. -Foto: Ihsan JIM Sabah

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 182 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri Sembilan melalui Pelabuhan Tawau semalam.

Semua PATI berkenaan membabitkan seramai 145 lelaki, 31 wanita dan enam kanak-kanak yang sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, Jumlah pecahan mengikut usia bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah membabitkan 12 bulan ke bawah manakala bagi dewasa dari 13 hingga 57 tahun.

“Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa/penjaga masing-masing.

“Keseluruhan PATI terbabit dihantar pulang ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon, Indonesia menggunakan pengangkutan laut Feri Nunukan Express dan Malindo Express,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, SH Sitti Saleha menyatakan semua PATI ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Menurut beliau, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI