PETALING JAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, hari ini telah merasmikan buku bertajuk ‘Shipping and Logistics in Malaysia’ terbitan Institut Maritim (Mima) dan Perlindungan dan Indemniti Malaysia Sdn Bhd (P&I Malaysia) di Kementerian Pengangkutan (MOT), Putrajaya.
Buku setebal 558 muka surat itu ditulis oleh Profesor Madya Dr. Mohd Yazid Zul Kepli mengenai kedua-dua bidang itu yang menjadi tonggak perdagangan dunia.
Pengerusi Mima, Datuk Mohamed Suffian Awang, yang turut hadir menyaksikan pelancaran tersebut menerusi satu kenyataan berkata, buku itu mampu menyemarakkan pembangunan sektor maritim negara.
“Buku ini beri gambaran jelas kepada pembaca, pengkaji atau pemain sektor maritim.
“Ia membawa pembaca ke dunia silam ‘sejarah kuno’, ‘zaman pertengahan’, dan zaman moden’ untuk meneliti proses pembentukan sejarah maritim dunia,” katanya.
Menurut beliau, buku tersebut mudah difahami semua golongan pembaca termasuk orang awam.
“Ia perlu dimiliki sebagai rujukan penting di kementerian dan agensi-agensi di MOT.
“Buku berkulit tebal ini boleh dibeli dengan harga RM100 di www.mima.gov.my, Shopee, dan Lazada,” jelasnya.
Dalam majlis tersebut, Mohamed Suffian turut menyampaikan senaskhah buku ‘Shipping and Logistics in Malaysia’ itu kepada Anthony Loke sebagai tanda kenangan. – KOSMO! ONLINE