ISTANBUL – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) bakal kehilangan khidmat Neymar untuk beberapa aksi selepas pemain itu mengalami kecederaan paha ketika pasukannya menewaskan Istanbul Basaksehir 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Neymar, 28, dilihat tidak selesa selepas menerima rawatan sebelum dia dikeluarkan dan digantikan oleh Pablo Sarabia seawal minit ke-26 permainan.
Ketua jurulatih PSG, Thomas Tuchel menjelaskan, pihaknya kini menanti keputusan ujian imbasan mengenai tahap kecederaan penyerang sensasi Brazil itu.
“Saya harap ia bukan kecederaan serius, sekarang kita tunggu dan lihat hasil keputusan imbasan esok (hari ini). Kami amat memerlukan khidmatnya dalam jadual yang padat ketika ini,” kata Tuchel.
Ketiadaan Neymar bagaimanapun tidak menjejaskan rentak PSG yang berjaya mendapatkan dua gol menerusi jaringan penyerang pinjaman Everton, Moise Kean pada minit ke-64 dan 79 pada aksi di Stadium Basaksehir Fatih Terim itu.
“Kami perlu kemenangan ini selepas tewas kepada Manchester United minggu lalu. Saya berharap dua gol ini dapat menyuntik semangat pasukan untuk beri prestasi lebih bagus,” jelas Kean.
Aksi PSG seterusnya adalah menentang Nantes Ahad ini sebelum menghadapi perlawanan ketiga Liga Juara-Juara menentang jaguh Jerman, RB Leipzig pada 5 November depan. – AGENSI