PETALING JAYA – “Selagi saya masih boleh bergerak dan melawan, saya akan terus berlakon dalam filem.”
Itu kata-kata daripada pelakon popular Hong Kong, Jackie Chan yang muncul dengan filem pengembaraan komedi terbaharu berjudul Ride On.
Ujar pemilik nama lengkap, Chan Song Kang itu, setia berlakon dan berlawan hingga pada usia sekarang yang sudah mencecah 70 tahun, perihal terbabit adalah tanda apresiasinya buat para peminatnya di seluruh dunia.
“Ini adalah cara saya untuk menunjukkan kasih sayang dan penghargaan saya kepada semua peminat saya di seluruh dunia atas sokongan mereka selama ini,” katanya lagi.
Filem Ride dibawakan oleh Pemegang Hak Pengedaran Malaysia, Shanghai Pictures Sdn. Bhd. dan diedarkan di Malaysia oleh Lotus Five Star bersama rakan pemasaran Infinity Entertainment Marketing. Jackie Chan melakonkan watak lagak ngeri
bernama Luo yang tinggal bersama kuda kesayangannya ‘Red Hare’.
Pengarah filem Larry Yang teruja dapat bekerjasama dengan Jackie Chan dan menyifatkan impian akhirnya terlaksana lelaki itu berlakon di bawah arahannya.
“Saya peminat tegar Jackie Chan dan ia adalah impian seumur hidup saya untuk bekerjasama dengan Jackie Chan dalam filem.
“Selepas menonton dokumentari tentang bernuansa lagak ngeri, saya menulis cerita ini dan langsung mengajukannya kepada Jackie Chan,” katanya.
Chan pula berkata, dia tidak teragak-agak untuk berlakon dalam Ride On kerana skrip cerita yang luar biasa serta karakter Luo yang memikat hatinya.
“Pada mulanya saya bersikap sopan, tetapi saya tidak menyangka dia datang kepada saya lagi selepas lima hari dengan cerita itu.
“Sebahagian daripada kisahnya membuat saya menangis, dan bagi saya, untuk menunjukkan semangat lagak ngeri kepada dunia, bermakna saya mesti melibatkan diri dalam filem ini!,” ujarnya.
Ride On yang turut dibintangi dua pelakon hebat lain Liu Haocun, Kevin Guo mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula esok, 13 April 2023. – KOSMO! ONLINE