fbpx

3 hari di Malaysia, Tiara Andini teruja pergi bazar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERITA menggembirakan buat peminat tempatan, Tiara Andini akan muncul dengan sebuah konsert di Malaysia pada Jun depan.

PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Indonesia, Tiara Andini mengakui lebih gemar menikmati makanan yang dijual di tepi jalan berbanding di restoran mewah.

Tiara, 22, yang berkunjung ke Malaysia untuk rakaman lagu baharunya berkata, dia tidak sabar untuk mencuba makanan jalanan di Malaysia termasuk mahu ke bazar Ramadan.

“Ini kali pertama saya datang Malaysia dan sudah tentu saya mahu cuba makanan yang sedap-sedap di negara ini.

“Tiga hari di sini saya mahu jalan-jalan dan cari makanan street food, mereka kata mahu bawa saya ke bazar Ramadan. Saya lebih suka makanan di pinggir-pinggir jalan berbanding di restoran kerana lebih sedap.

“Semalam sahur saya dah cuba kari, lepas ini nak cari roti canai dan nasi lemak yang pedas,” ujarnya pada majlis Media Gathering Tiara Andini di Universal Music, di sini, semalam.

Dalam pada itu, berkongsi tujuannya datang ke Malaysia, penyanyi lagu Merasa Indah itu berkata, dia dalam proses merakam lagu baharu dengan komposer Korea Selatan, Hyuk Shin.

Menurut Tiara, single bergenre rancak tersebut akan menampilkan sisi lain dirinya sebagai penyanyi.

“Syukur saya ditemukan dengan komposer Korea Selatan oleh pihak Universal Music dan cuba merakam lagu rancak.

“Sebenarnya saya peminat K-pop dan tak sangka dapat menyanyikan lagu berunsur K-pop. Pada saya lagu ini bakal mempamerkan sisi diri yang berbeza.

“Peminat selalu dengar suara saya menyanyikan lagu sedih tapi kali ini karya rancak pula. Ini satu cabaran buat saya,” ujarnya.

Selain itu, Tiara berkata, dia bakal mengadakan konsert di Malaysia pada Jun depan.

Biarpun sudah biasa membuat persembahan di Indonesia, Tiara akui perasaan gementar tidak boleh dielak.

“Insya-Allah pada Jun mendatang saya akan mengadakan konsert di Malaysia.

“Saya sudah biasa menyanyi tapi perasaan gementar itu masih ada terutama jika melakukan persembahan berskala besar, apatah lagi ini pertama kali di sini.

“Saya selalu berinteraksi dengan peminat di Malaysia dan ramai yang memberi sokongan untuk saya buat persembahan di sini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI