HANOI – Beberapa pembeli durian secara online di Vietnam menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan selepas membuat pemindahan wang kepada penjual, lapor portal berita VN Express kelmarin.
Buah durian tersebut dijual pada harga 35,000 dong Vietnam (RM6.59) bagi setiap kilogram (kg).
Menurut seorang pembeli, Hoang Anh, dia memindahkan wang sebanyak 7 juta dong (RM1,318) kepada penjual untuk membeli sebanyak 200 kg buah durian Ri 6, tetapi penjual tersebut kemudian tidak dapat dihubungi.
Seorang lagi pembeli di Hanoi yang dikenali sebagai Lan berkata, penjual turut menghantar video yang menunjukkan buah durian dipotong. Disebabkan itu, dia memindahkan wang 10 juta dong (RM1,883) kepadanya tetapi tidak pernah menerima buah tersebut.
Gambar penjual itu di online ternyata palsu dan video yang ditunjukkannya sebenarnya diambil daripada seorang lagi peniaga yang sah di selatan Vietnam.
Salah seorang penjual sebenar, Dang Manh Khuong berkata, dia telah menerima aduan penipuan sejak minggu lalu kerana penipu tersebut mencuri maklumat peribadinya dan menggunakan namanya di media sosial untuk menipu pembeli.
“Tiada durian berharga 35,000 dong (RM6.59) satu kg pada masa ini,” katanya.
Ladang di selatan Vietnam menjual durian pada harga 80,000 dong (RM15.07) sekilogram untuk kualiti terbaik dan yang paling murah dijual 55,000 dong (RM10.36) setiap satu kg. – Agensi