KRASNODAR, Rusia – Pengurus Chelsea, Frank Lampard teruja dengan penampilan pemain baharunya, Hakim Ziyech selepas bintang Maghribi itu meledak jaringan ketika membantu pasukannya membelasah Krasnodar 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Lampard mengakui Ziyech tidak gugup malah tenang mengendali pasukan tersebut sebelum menjaringkan gol pada minit ke-79 selepas melakukan empat percubaan tepat.
Sebelum ini, Ziyech mengalami kecederaan ketika bersama Chelsea dalam aksi pramusim dan hanya beraksi sebagai pemain gantian sebanyak tiga kali sejak perpindahannya daripada Ajax.
“Ziyech berusaha dengan amat gigih untuk kembali cergas dan saya teruja untuk melihat kualitinya dalam pasukan ini.
“Dia (Ziyech) turun dengan kualiti sebenar dan tenang ketika berada di atas padang. Dia layak untuk memperoleh gol. Persembahannya sangat baik meskipun ini kali pertama dia diturunkan sepenuh masa. Kali terakhir dia main sepenuh masa pada Mac lalu di Belanda.
“Kecederaannya sebelum ini mengecewakannya. Tetapi apa yang saya lihat ketika berlatih dan apa yang saya tahu kami menandatangani seorang pemain berkualiti.
“Mungkin di luar sana sudah lupa kita membawa masuk Ziyech pada Januari lalu dan dia terlepas untuk beraksi pada awal musim tetapi malam ini dia menunjukkan aksi sebenar.
Ziyech menyertai Chelsea daripada Ajax dengan perpindahan bernilai £37 juta (RM199.66 juta) pada musim panas tetapi terlepas saingan awal musim kerana kecederaan lutut. – AGENSI