fbpx

Michelle Yeoh balik Ipoh, bawa trofi Oscar ke pusara bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MICHELLE membawa pulang trofi Oscar kepada ibunya, Datin Janet Yeoh serta pusara bapanya, Datuk Yeoh Kian Teik.

PETALING JAYA – “Bawa Mr. O pulang.”

Demikian perkongsian satu-satunya anak Malaysia penjulang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh yang kini sudah tiba di kampung halamannya di Ipoh, Perak.

Detik gembira tersebut dikongsikan Yeoh menerusi hantaran Instagram yang menunjukkan ibu tercinta, Datin Janet Yeoh sedang memegang trofi Oscar bersalut emas 24 karat dimenanginya.

Nyata aktres yang mencipta nama di Hollywood itu mengotakan janji ketika berucap selepas diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi ke-95 pada 13 Mac lalu.

Menerusi perkongsian sama, Yeoh turut menzahirkan penghargaan terhadap kedua-dua orang tuanya atas dorongan mereka sehingga beliau mampu berada di posisi sekarang.

“Tanpa kasih sayang, kepercayaan serta sokongan ibu bapa saya, tidak mungkin saya ada di sini. Saya sayang anda berdua,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.

Menerusi gambar lain, bintang mega berusia 61 tahun itu turut dilihat membawa trofi berprestij berkenaan ke kubur mendiang bapanya, Datuk Yeoh Kian Teik.

Mendiang bapanya yang juga peguam dan ahli politik menghembuskan nafas terakhir pada usia 89 tahun akibat sakit tua pada 2014.

Sebelum ini, Yeoh dilaporkan bakal pulang ke tanah air untuk bertemu peminat bagi acara Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet di Pavilion Kuala Lumpur pada 18 April ini.

Selain diraikan, pelakon pertama dari Asia diangkat sebagai pemenang kategori utama dalam Anugerah Akademi itu berjanji ‘balik kampung’ untuk menyambut ulang tahun ke-84 ibunya.

Selepas berjumpa peminat pada pukul 4 petang, pada sebelah malamnya pula, Yeoh bakal menghadiri majlis makan malam istimewa bersempena sambutan hari jadi Janet.

Terdahulu, tanggal 13 Mac 2023 menjadi detik bersejarah buat bintang Hollywood itu sebaik memenangi Oscar yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Melalui penampilan dalam filem Everything Everywhere All At Once, beliau diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik mengenepikan empat pencabar terdekat termasuk Cate Blanchett.

Dalam ucapan sebaik merangkul trofi idaman ramai, beliau berjanji mahu membawa trofi tersebut ke rumah untuk ditunjukkan kepada ibunya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI