KUALA LUMPUR – Di sebalik keterujaan orang ramai membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, masih terdapat warga kota yang terpaksa meraikan hari lebaran sebagai perantau di ibu negara.
Tinjauan Kosmo! mendapati, antara alasan yang diberikan adalah masalah kewangan, tuntutan kerja selain mengelak kesesakan jalan raya.
Peniaga baju, Muhammad Adib Iqbal, 32, berkata, pada tahun ini dia bakal menyambut Aidilfitri di perantauan memandangkan tiket kapal terbang untuk ke Kundasang, Sabah mahal.
“Saya terpaksa tunda untuk menyambut raya di Sabah kerana harga tiket kapal terbang mahal. Jadi saya tiada pilihan kecuali beraya di ibu kota bersama teman serumah.
“Saya sudah buat persiapan awal, namun harga tiket kapal terbang pada tahun ini naik mendadak. Niat di hati memang hendak beraya bersama ahli keluarga yang lain, namun nampaknya belum ada rezeki pada tahun ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Muhammad Adib, harga tiket kapal terbang RM1,000 untuk perjalanan sehala agak membebankan baginya.
Sementara itu, pegawai bank, Asiah Zulkifli, 32, memberitahu, dia mengambil keputusan untuk tidak pulang beraya di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan pada tahun ini kerana kehabisan tiket bas ekspres.
“Saya memang akan menggunakan pengangkutan awam untuk pulang beraya di kampung kerana tiada kenderaan sendiri. Tiket bas ekspres pula sudah habis. Jadi saya rasa lebih baik beraya sahaja di sini (ibu negara),” katanya.
Tambah wanita itu, tugasan kerja yang sentiasa bertambah walaupun pada musim perayaan menyebabkan dia mengambil tanggungjawab tersebut untuk menyelesaikan tugasnya.
Sementara itu, suri rumah, Risty Atilin, 33, pula berkata, pada Aidilfitri tahun ini, dia dan ahli keluarganya bersepakat untuk beraya di Kuala Lumpur.
“Semua ahli keluarga bersetuju untuk menyambut hari raya di Kuala Lumpur sebab semua kami menetap di sini. Tidak kisahlah beraya di mana pun asalkan kami ahli keluarga dapat berkumpul bersama-sama.
“Saya percaya sambutan Aidilfitri pada tahun ini akan tetap meriah walaupun berada di perantauan,” katanya.