fbpx

Bayarlah hutang, jangan susahkan kawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO.

HUTANG adalah satu ungkapan yang sering menjadi polemik dalam kehidupan seseorang kerana boleh mencorakkan kehidupan menjadi haru-biru atau sebaliknya bergantung sejauh mana kita mampu ‘mengawalnya’.

Mungkin ada antara kita pernah melalui situasi sukar dalam hidup apabila orang berhutang wang dan liat untuk menjelaskannya dengan memberikan pelbagai alasan yang kadangkala tidak munasabah.

Itu yang selalu dialami banyak orang. Sebelum berhutang, bukan main lagi manis mulut, tetapi selepas mendapat apa yang dihajati, begitu susah untuk melunaskannya. Orang yang memberi hutang pula yang kelihatan ‘terhegeh-hegeh’ untuk mendapatkan balik hak mereka seolah-olah dia pula yang berhutang.

Lagi parah, setiap kali berselisih di jalanan, orang yang berhutang seolah-olah ingin melarikan diri.

Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat di negara ini sejak sekian lama dan menjadi ‘kudis’ yang susah untuk diubati jika tidak ditangani dengan baik.

Hubungan persahabatan juga bisa renggang sekiranya seseorang cuba lari daripada menjelaskan hutang.

Amalan berhutang juga boleh dikaitkan dengan sikap manusia yang suka berbelanja di luar kemampuan bertujuan menunjuk-nunjuk kononnya mereka mempunyai wang yang banyak sedangkan realitinya tidak sedemikian.

Mungkin satu ketika dahulu, hutang selalu dikaitkan dengan golongan miskin yang terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup. Tetapi sekarang, semuanya berubah apabila golongan kaya juga terbelit dengan belenggu hutang untuk bermewah-mewahan.

Lebih parah jika seseorang itu terjebak hutang ah long. Ia boleh membuatkan hidup mereka menjadi haru-biru malah silap perhitungan, nyawa menjadi galang gantinya.

Islam amat mengambil berat soal membayar hutang kerana ia merupakan hak si pemberi hutang sebagaimana yang dirakamkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar,

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (pada hari kiamat nanti) kerana di sana (akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” – Riwayat Ibnu Majah.

Demikian keadaan orang yang mati dalam keadaan masih membawa hutang dan belum juga dilunasi, maka untuk membayarnya akan diambil daripada pahala kebaikannya.

Ingatlah, cuba belajar untuk membayar hutang walaupun secara ansuran kerana secara tidak langsung dapat membantu orang yang memberi hutang sedikit kelegaan di kala mereka amat memerlukannya.

Apa lebih penting, hutang semestinya wajib dibayar walaupun tidak dituntut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI