SELEPAS tular kisah beli cincin tanda, kekasih Shila Amzah, Ubai berjumpa pula dengan ibu penyanyi itu bagi meminta restu terhadap hubungan cinta mereka.
Pempengaruh media sosial berkenaan nyata serius untuk membawa hubungan dengan ibu tunggal anak satu ke fasa seterusnya.
Jadi dia sudah sedia bertemu Datin Fauziah Sarman untuk berbuka puasa bersama selain berkenalan lebih dekat dengan keluarga kekasihnya.
Menariknya detik bersejarah itu dikongsi Shila menerusi rakaman siaran langsung yang dimuat naik dalam laman Instagramnya.
Agak lucu apabila suara Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli kedengaran bergegar tanda sedang gugup.
Padahal sebelum itu dia dipamerkan sudah berlatih bersungguh-sungguh untuk menyatakan hasrat membawa hubungannya bersama Shila ke fasa lebih serius.
Sekarang baru Mizz Lahar sedar patutlah penyanyi Patah Seribu itu jatuh cinta pada Ubai, rupa-rupanya lelaki berusia 25 tahun itu punya sisi humor yang kental.
Patutlah ramai peminat yang mendoakan Ubai dan Shila naik pelamin cepat-cepat.
Mizz Lahar: Pening dengan hari-hari kisah artis dari kamar mahkamah. Macam-macam cerita dalam kain dan drama berlaku. Ada tangisan sedu hiba, ada juga drama bawa emas permata nak pujuk hati isteri kesuma jiwa.