fbpx

Hafizh kekal beraksi Moto2 musim depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZH akhirnya boleh menarik nafas lega apabila khidmatnya sah disambar pasukan berpangkalan di Eropah untuk saingan Moto2 musim depan. - ASPAR TEAM

IMPIAN rakyat Malaysia menyaksikan kelibat pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah kekal beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) akhirnya terjawab selepas pa­sukan berpangkalan di Eropah bersetuju menyambar khidmatnya musim depan.

Masa depan Hafizh, 26, menjadi tanda tanya selepas pasukannya, Aspar Team membawa masuk Albert Arenas dari Sepanyol yang sebelum ini beraksi dalam kelas Moto3 bagi menggantikan tempat pelumba berusia 26 tahun itu untuk saingan Moto2 musim hadapan.

Pengurus Hafizh, Razmin Masli Abdul Razak berkata, jika tiada masalah, pihaknya akan mengumumkan berita gembira itu secara rasmi menjelang dua perlumbaan di Valencia, Sepa­nyol nanti.

“Perbincangan bersama pasukan baharu Hafizh untuk musim 2021 sudah selesai. Hafizh akan kekal beraksi dalam saingan Moto2 musim depan.

“Pasukan yang berminat mendapatkan khidmat Hafizh ini berpangkalan di Eropah dan pengumuman selanjutnya akan dibuat dalam masa terdekat. Jika semua berjalan lancar, kita akan umumkan secara rasmi ketika perlumbaan di Valencia,” kata Razmin dalam satu kenya­taan semalam.

Dalam pada itu, Razmin turut berharap Hafizh dapat memberikan prestasi terbaik dalam baki tiga perlumbaan Moto2 musim ini selepas spekulasi mengenai masa depannya kini sudahpun terjawab.

“Saya berharap dengan selesainya perbincangan untuk 2021, Hafizh akan lebih bersemangat dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk baki tiga pusingan musim ini,” jelasnya.

Kini, Hafizh perlu menampilkan prestasi lebih bertenaga dalam tiga Grand Prix (GP) ter­akhir iaitu GP Europa (8 November) dan GP Valencia (15 November) di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol serta GP Portugal di Litar Algarve, Portimao pada 22 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI