PONTIAN – Persatuan Penternak Lembu dan Kambing Negeri Johor (PPLKNJ) mendakwa kenaikan harga makanan yang berlaku sehingga tujuh kali ganda menjadi punca berlakunya kenaikan harga daging lembu segar.
Presidenya, Abd. Samad Samiran berkata, kenaikan harga makanan lembu masih gagal diatasi oleh kerajaan walaupun beberapa syor dan cadangan telah dibuat bagi menyelesaikan isu tersebut.
Katanya, harga dedak yang meningkat naik beberapa kali sejak tahun lalu memberikan tekanan kepada penternak yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi seekor lembu.
Menurut beliau, selain dedak, penternak juga mengambil makanan tambahan bagi ternakan mereka seperti tahi minyak kelapa sawit, jerami dan kacang soya yang turut meningkat pada ketika ini.
“Kami diibaratkan seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak, kerana isu makanan ternakan lembu dan juga kambing tidak menampakan penurunan sebaliknya naik pada setiap tahun.
“Penternak perlu terus memberikan ternakan mereka makanan tetapi harga makanan ternakan pula tinggi, kesannya nanti tentu harga produk akhir kepada pengguna iaitu daging juga tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harga daging lembu segar bagi musim perayaan ini yang tersebar di media sosial yang bermula dengan RM38 sekilogram sehingga RM46 sekilogram bagi daging batang pinang.
Bagaimanapun, jelasnya, penternak kecil tidak akan menjual daging segar di musim perayaan ini sebaliknya menumpukan kepada program ibadah korban yang lebih memberikan keuntungan kepada mereka.
“Manakala penternak besar perlu menjualnya pada musim perayaan ini bagi mendapatkan pusingan modal untuk menampung kos makan ternakan mereka,” ujar Abd Samad.
Ditanya pihak persatuan mempunyai cadangan bagi mengeluarkan satu harga siling daging segar kepada ahli-ahlinya, dia berkata, ia belum dapat dilaksanakan ketika ini.