KOTA BHARU – Sembilan buah kedai makan di sekitar pusat bandar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa di sini diberi amaran selepas disyaki menjual makanan terlalu awal dalam Operasi Patuh Sempena Ramadan hari ini.
Operasi yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) itu untuk mengenal pasti premis yang menjual makanan kepada golongan ponteng puasa.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, sembilan buah kedai makan itu didapati menyediakan nasi, lauk-pauk dan minuman meskipun mereka dibenarkan menjual makanan tersebut selepas pukul 3 pada bulan Ramadan yang rata-ratanya memberi alasan hanya memasak awal dan tidak berniaga sebelum waktu ditetapkan mengikut syarat lesen.
“Semasa pemeriksaan di sebuah premis di Kampung Pangkalan Nangka, Pengkalan Chepa, kita menemui nasi bungkus yang dipercayai untuk dijual kepada pelanggan.
“Bagaimanapun, peniaga wanita terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an memberi alasan bahawa nasi yang dibungkus itu untuk anaknya di rumah,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Rosnazli berkata, wanita terbabit dan peniaga kedai makan yang lain diberikan amaran agar tidak berniaga sebelum pukul 3 petang pada bulan Ramadan.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM500 kepada seorang peniaga yang berusia 33 tahun kerana memasang iklan tanpa kebenaran MPKB-BRI.
“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk mengeluar kompaun kepada peniaga yang terlibat dalam kegiatan yang mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE