JOHOR BAHRU – Pusat beli belah di sekitar bandar raya ini terus menjadi tumpuan ribuan warga Singapura yang mahu membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri, tidak lama lagi.
Tinjauan di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini mendapati, premis berkenaan dikunjungi ramai warga republik itu seawal pukul 10 pagi iaitu sejurus selepas ia dibuka untuk beroperasi.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Supaid Karmat, 72, memberitahu, memang tradisi buat dirinya dan keluarga untuk mencari barangan keperluan Aidilfitri di bandar raya ini.
“Sejak saya muda lagi, memang apabila perayaan Aidilfitri bakal tiba, kami akan datang ke Johor Bahru (JB) untuk membeli kelengkapan raya, sama ada baju, kuih-muih mahupun perhiasan rumah.
“Jika dibandingkan dengan Singapura, pilihan di sini jauh lebih banyak dan harganya juga lebih berpatutan, jadi memang saya dan keluarga sering ke Johor Bahru untuk tujuan itu.
“Antara pusat beli-belah yang menjadi tumpuan termasuklah Angsana, Kotaraya dan beberapa lokasi lain lagi,” katanya di sini semalam.
Supaid yang merupakan seorang usahawan itu turut memberitahu, dia bersyukur apabila persiapan Aidilfitri tahun ini dapat dibuat lebih awal berbanding pembelian saat-saat akhir.
“Kami sekeluarga buat keputusan untuk datang beli dua minggu sebelum perayaan untuk memastikan tidak terkejar-kejar membuat persiapan, lebih banyak masa untuk memilih yang terbaik,” ujar bapa kepada enam orang anak itu.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Wida Hussein, 60, pula memberitahu, dia dan suaminya bersyukur pandemik Covid-19 telah berlalu, membolehkan pergerakan rentas sempadan dibuat antara Malaysia dan Singapura.
Katanya, sebelum pandemik lalu, kami kerap berkunjung ke rumah ahli keluarga di Pasir Gudang, termasuklah ketika bulan Ramadan untuk berbuka puasa bersama-sama.
“Namun, apabila pandemik Covid-19 terjadi, sempadan ditutup dan dalam tempoh dua tahun itu, saya tidak dapat bertemu dengan kakak dan keluarganya yang menetap di negara ini.
“Syukur Alhamdulillah keadaan sudah kembali seperti biasa, kami bukan sahaja boleh saling menziarahi, malah rakyat Singapura juga boleh kembali membeli-belah di sini,” jelas ibu kepada tiga orang anak itu.
Wida turut memberitahu, kadar tukaran matawang asing antara Singapura dan Malaysia juga merupakan faktor utama mengapa ramai rakyat republik itu memilih untuk membeli persiapan Aidilfitri di sini.