fbpx

Projek LTU di Gua Musang tidak boleh ditangguh – JKR Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja pembinaan LTU yang bermula dari Simpang Hospital sehingga Taman Damar dekat Gua Musang, Kelantan sejak 3 April lalu. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/ KOSMO!

KOTA BHARU – Kerja-kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Gua Musang tetap akan diteruskan meskipun ada desakan agar projek itu ditangguh buat sementara waktu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Mohd. Suhaili Ismail berkata, projek itu tidak boleh ditangguh kerana kerja-kerja pemasangan cerucuk di kawasan tersebut sudah bermula.

Menurutnya, selain itu, laluan tersebut juga tidak boleh digunakan oleh semua kenderaan meskipun kerja-kerja pemasangan ditangguhkan buat sementara waktu.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mengenai cadangan untuk menangguhkan sementara kerja-kerja mengelak kesesakan di Gua Musang menjelang sambutan Aidilfitri.

“Sekiranya kerja-kerja pemasangan cerucuk ditangguh, ia dikhuatiri akan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Suhaili memberitahu, melalui perbincangan itu, JKR mengambil keputusan untuk tidak membuka semula jalan atau menangguh projek tersebut kerana ia boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, pemasangan cerucuk sudah dilakukan dan tidak mungkin laluan tersebut akan kembali dibuka semula kepada kenderaan.

“Sehubungan itu, JKR akan mengubah jalan alternatif yang dibuka untuk semua kenderaan ketika ini kepada laluan sehala untuk mengelakkan kesesakan trafik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita juga akan menutup laluan di simpang di jalan alternatif apabila kesesakan sering berlaku di kawasan tersebut memandangkan banyak simpang terutamanya menghala ke bandar Gua Musang.

“Laluan di simpang-simpang di jalan alternatif akan ditutup selama dua minggu iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas Syawal,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan, polis Kelantan sudah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan beberapa pihak dalam usaha untuk menangguhkan kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek LTU Pakej 3B dan 3C buat sementara waktu menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Muhamad Zaki berkata, setakat ini, Ketua Polis Daerah Gua Musang sudah berbincang dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Gua Musang mengenai perkara itu.

Terdahulu, dua laluan utama di Gua Musang mulai sesak apabila ditutup sepenuhnya pada 3 April untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan LTU Pakej 3B dan 3C.

Jalan menghala ke bandar Gua Musang bermula dari bulatan Tanah Putih ke simpang Kampung Pulai dan Jalan Kesedar Putra mendapati, laluan tersebut sesak dengan kenderaan hampir setiap hari.

Bagaimanapun, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT008 melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, FT 2744 (hadapan Hospital Gua Musang) dan FT2746 (Jalan Pulai). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI