KUANTAN – Sembilan individu berusia antara 24 hingga 29 tahun ditahan kerana menjual bunga api dan mercun tanpa lesen atau permit di daerah Kuantan dan Pekan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan itu dibuat hasil pemeriksaan dijalankan 40 pegawai dan anggota unit penguatkuasa cawangan lesen Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang sejak 28 Mac lalu.
“Pemeriksaan dan tangkapan itu membabitkan lima kes di daerah Kuantan dan empat kes di daerah Pekan dan kita turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM13,060.
“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM7,000 atau keduanya sekali,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis berbuka puasa bersama ketua polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini semalam.
Dalam pada itu, Ramli memberitahu polis Pahang menerima 424 permohonan menjual bunga api serta mercun sejak awal Ramadan dan daripada jumlah itu sebanyak 340 permohonan diluluskan dan 50 ditolak manakala 34 lagi masih dalam proses.
“Antara punca permohonan ditolak adalah pemohon gagal (melepasi) tapisan ditetapkan seperti mempunyai rekod jenayah, tiada surat sokongan daripada agensi lain dan lokasi penjualan tidak sesuai serta melanggar syarat ditetapkan seperti berniaga secara dalam talian dan melebihi had simpanan ditetapkan,” jelasnya.
Sementara itu mengenai insiden kecederaan akibat bermain mercun beliau berkata, sehingga semalam Polis Pahang belum menerima laporan mengenai insiden atau kejadian tidak diingini akibat bermain mercun dan bunga api di negeri ini. – KOSMO! ONLINE