PETALING JAYA – Anggota tentera yang dilaporkan hilang di Hutan Simpan Royal Belum, Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib ditemui meninggal dunia.
Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican berkata, urusan membawa pulang jenazah sedang diuruskan oleh pihak tentera. Jenazah akan disolat dan dikebumi di Pulau Mertajam.
“Takziah diucapkan kepada Ketua Wanita Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta.
“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” katanya dalam satu status di Facebook sebentar tadi.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada pukul 12.50 tengah malam.
Mangsa merupakan anggota dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang. – KOSMO! ONLINE