fbpx

DUKE bakal laksana sistem pembayaran tol terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE) menjadi syarikat konsesi lebuh raya terkini yang bakal mengambil bahagian di dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka di plaza tol lebuh raya kendaliannya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan yang dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan DUKE itu menjadikan keseluruhan jumlah lebuh raya yang bakal terlibat di dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka itu kepada 12 lebuh raya.

“Lebuh raya yang terlibat termasuklah Lebuh Raya Sungai Besi, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur, Lebuh Raya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Butterworth – Kulim, Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).

“Selain daripada itu, sukacita ingin saya memaklumkan bahawa Lebuh Raya DUKE juga telah dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuh Raya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ianya dilaksanakan di semua lebuh raya di dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alexander berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka itu merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

“Usaha ini diharap dapat memberikan peluang kepada Kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terlibat untuk mengenalpasti dan menyelesaikan segala isu-isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF ini kelak.

“Pelaksanaan MLFF ini juga diharapkan dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di plaza tol selain memberikan kemudahan dan memastikan keselamatan semua pengguna lebuhraya terjamin,” jelasnya.

Katanya, pada ketika ini pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF masih mengikut jadual dan Kementeriannya sedang giat berusaha memastikan kesemua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.

“Saya memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini sekaligus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI