JOHOR BAHRU – Seorang pemuda lelaki mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas perbuatan memukul dan membakar seekor anjing di Taman Impian Emas, Skudai, di sini, bulan lalu.
Orang kena saman (OKS) Braden Yap Hong Sheng, 19, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu dengan zalimnya telah menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya kepada seekor anjing betina berwarna perang dan perbuatan itu dilakukan pada pukul 1.49 pagi di sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai, di sini, 27 Mac lalu.
Bagi perbuatan itu, OKS telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama.
Berdasarkan fakta kes, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan OKS telah memukul dan membakar seekor anjing berwarna perang di premis tersebut.
Susulan aduan awam, doktor veterinar telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas seekor anjing bersabit di Klinik Vetmedic Petlover, Taman Impian Emas pada 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu dan mendapati anjing itu berada dalam keadaan ketakutan selain terdapat kesan lebam serta kecederaan di beberapa bahagian badannya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan, Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Mohd. Zamri Shak @ Ishak manakala pemuda itu diwakili peguam, P. Rajakunaseelan.
Bagaimanapun, peguam P. Rajakunaseelan memohon penangguhan bagi hukuman terhadap OKS itu memandangkan peguam GK. Sritharan yang sepatutnya mewakili OKS tidak dapat hadir kerana berada di luar negara dan mahkamah kemudian menetapkan 18 April ini untuk fakta dan hukuman terhadap OKS. – KOSMO! ONLINE