fbpx

RM500 juta Wang Menunggu Dituntut, AmanahRaya kesan waris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Feizal (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim di Seremban, Negeri Sembilan semalam. Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI/ KOSMO!

SEREMBAN – Kira-kira sebanyak RM500 juta dana tertangguh atau Wang Menunggu Dituntut (WMD) masih menunggu untuk diagihkan kepada waris-waris si mati yang berhak oleh Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) setakat ini.

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan sehubungan itu berkata, pihaknya akan mula menggiatkan proses mengesan waris bahagian pusaka itu dengan kerjasama pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pemimpin masyarakat.

“Setakat ini, Wang Menunggu Dituntut di AmanahRaya adalah sebanyak lebih kurang RM500 juta. Pihak kami akan bersama dengan 20 cawangan AmanahRaya di seluruh negara akan cuba mengesan dan menyediakan kaunter bergerak bagi mengesan waris-waris berkenaan.

“Kami juga bermula bulan Mei ini menerusi Jabatan Pembangunan Perniagaan akan ke negeri-negeri untuk berjumpa dengan ketua-ketua kampung bagi tujuan mengesan dan menerangkan bagaimana cara waris ini boleh menuntut bahagian pusaka mereka ini.

“Jika sebelum ini negara berhadapan Covid-19, kami tidak berpeluang mencari waris-waris ini namun selepas ini kami akan turun mengesan sendiri waris tersebut. Kami akan beri penerangan agar mereka menuntut bahagian mereka dan keperluan mereka (waris) untuk menuntut harta yang ditinggalkan itu,” katanya kepada pemberita pada Program Beli-Belah Baju Raya dan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Asnaf di sini semalam.

Jelas Ahmad Feizal, antara faktor berlakunya wang tersebut tidak dituntut dan diagihkan kepada penerima berhak adalah berlakunya perbalahan antara penerima bahagian pusaka serta kes membabitkan kematian berlapis.

Sementara itu, ujar beliau, pihak AmanahRaya melalui Yayasan AmanahRaya memperuntukkan sebanyak lebih kurang RM200 setiap seorang bagi memberikan keceriaan menerusi persiapan baju raya kepada 53 orang anak yatim dan asnaf.

“Kesemua mereka dari tiga buah pusat jagaan di daerah ini iaitu Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair, Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan dan Pusat Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Perempuan Mawarku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI