BANGKOK – Gara-gara tidak berdiri ketika lagu kebangsaan Thailand dimainkan, seorang pelajar sekolah berusia 15 tahun ditampar di sebuah stesen kereta api di bandar Ayutthaya baru-baru ini, lapor sebuah laman berita.
Pelajar perempuan tersebut ditampar seorang wanita dipercayai peniaga tepi jalan selepas lagu kebangsaan tersebut tamat dimainkan.
Sebuah video yang tular di laman Twitter menunjukkan seorang wanita berbaju merah sedang memarahi pelajar berpakaian seragam sekolah yang terduduk di tepi landasan kereta api sambil ditenangkan oleh rakannya.
“Berdiri sekarang. Mari ke sini. Kamu seorang yang tidak berguna. Kamu adalah seorang pelajar dan memakai seragam sekolah,” gertak wanita dalam video tersebut.
Difahamkan pelajar tersebut tidak dapat berdiri ketika lagu kebangsaan berkenaan dimainkan kerana sakit senggugut.
Lagu kebangsaan Thailand akan dimainkan setiap hari di sekolah dan tempat awan pada pukul 8 pagi serta 6 petang.
Susulan daripada kejadian tersebut, keluarga pelajar itu membuat laporan polis dan pihak berkuasa telah mengenal pasti wanita terbabit serta memintanya untuk menyerah diri.
Justeru itu, wanita tersebut telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan akan didakwa di mahkamah atas kesalahan melakukan serangan. – Agensi