PETALING JAYA – Bakat seorang lelaki ala Michael Jackson yang membuat persembahan di Jalan Bukit Bintang mendapat pujian orang ramai apabila videonya tular sejak beberapa hari lalu.
Menerusi video yang dimuat naik oleh penyanyi tersebut di akaun TikToknya, @trissyngates, kelihatan dia begitu semangat ketika menyampaikan lagu berjudul ‘Singkong dan Keju’.
Bukan itu sahaja, gayanya berinteraksi dengan orang ramai dengan tarian dan pakaian seakan penyanyi legenda antarabangsa, Michael Jackson turut mencuri tumpuan penonton.
Sehingga kini videonya telah mendapat 6.9 juta tontonan, 455,600 tanda suka dan 18,400 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji persembahan lelaki terbabit yang begitu bersemangat seakan-akan mengadakan konsert khas buat peminat-peminatnya.
“Sudah lebih enam kali tengok video ini sambil tersenyum seorang diri. Boleh ganti Sudirman, ini baru penghibur namanya. Lagu macam ini pun boleh jadi gempak,” komen Fendy.
“Cara persembahan dia macam penyanyi nombor satu dunia. Semoga dimurahkan rezeki selalu penyanyi macam ini,” komen Tengku pula.
“Macam gaya arwah Sudirman walaupun gayanya seperti Michael Jackson. Seronok tengok vokalis yang ‘hype’ penonton macam ini,” komen pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE