NEW DELHI – Sebuah pesawat Air India yang dalam penerbangan ke London terpaksa berpatah balik ke New Delhi selepas seorang penumpang dilaporkan memulakan pergaduhan dengan kru kabin, lapor akhbar Metro UK semalam.
Penerbangan AI111 ke Lapangan Terbang Heathrow berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi pagi semalam selepas seorang penumpang berkelakuan biadab.
Individu terbabit menarik rambut seorang kru kabin dan menyebabkan kecederaan fizikal kepada seorang petugas lain.
Ketika insiden berlaku, penumpang tersebut dikatakan telah beberapa kali diberikan amaran namun, memilih untuk terus bertindak agresif.
Pesawat itu berlepas pukul 6.35 pagi (waktu tempatan), namun berpatah balik tiga jam kemudian selepas pergaduhan tercetus.
Laman berita Hindustan Times melaporkan penumpang berkenaan diserahkan kepada pihak polis sejurus tiba di lapangan terbang.
Sebuah penerbangan lain ke London dijadualkan semula pada petang hari yang sama.
“Juruterbang membuat keputusan berpatah balik ke New Delhi manakala penumpang tersebut diserahkan kepada anggota pasukan keselamatan sejurus mendarat.
“Kami kesal atas segala kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh penumpang lain dan telah menjadualkan semula penerbangan,” kata seorang jurucakap Air India. – Agensi