LIVERPOOL – Tonggak pertahanan berpengaruh Liverpool, Trent Alexander-Arnold mengakui, The Reds tidak perlu risau dengan kehilangan sandaran utama di benteng pertahanan kerana pemain remaja, Rhys Williams berupaya mengisi kekosongan tersebut.
Sebagai rekod, skuad kendalian Jurgen Klopp itu dibelenggu kecederaan selepas dua bintang senior, Virgil van Dijk dan Fabinho mengalami kecederaan jangka panjang sehingga menyebabkan Williams terpaksa diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara kelmarin.
Kata Arnold, walaupun Williams baru berusia 19 tahun, namun dia telah mempamerkan aksi yang cukup matang dan boleh menjadi sandaran jika diturunkan dalam kesebelasan utama menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham United awal pagi Ahad ini.
“Saya percaya pengalaman Williams beraksi secara pinjaman tahun lalu telah meningkatkan prestasinya untuk diserapkan dalam skuad utama musim ini.
“Kepercayaan yang diberikan jurulatih juga boleh meningkatkan tahap keyakinannya. Jadi, saya tidak terkejut jika dia dapat mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama untuk membantu benteng pertahanan yang dibelenggu masalah kecederaan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Arnold turut memuji impak jentera serangan baharu Liverpool, Diogo Jota yang kini sudah menjaringkan tiga gol dalam semua kejohanan termasuk ketika menang 2-0 ke atas Midtjylland dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield kelmarin.
“Kami gembira dengan prestasi semasa Jota kerana dia tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri walaupun baru berhijrah ke sini. Secara peribadi, saya harap dia dapat meneruskan momentum untuk menjaringkan gol penting buat pasukan,” jelasnya. – AGENSI