KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas terpaksa reda dengan nasib yang menimpa suaminya selepas diserang strok sehingga lumpuh separuh badan sejak 10 bulan lalu.
Zaimah Hassan, 72, berkata, suaminya, Mohamad Deraman, 72, kini hanya terlantar di atas katil dan tidak lagi mampu untuk bertutur.
Kata Zaimah, sejak kejadian itu, dia mengambil tanggungjawab untuk mengurus segala hal berkaitan kehidupan suaminya termasuk untuk memandi dan menukar pakaian,
“Serangan strok itu menyebabkan separuh badan suami lumpuh dan paling menyedihkan, dia tidak mampu untuk bertutur.
“Dia hanya boleh minum susu khas yang dimasukkan menerusi tiub dipasang pada hidungnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lorong Kemunting di sini baru-baru ini.
Zaimah berkata, walaupun sudah dimamah usia, kebanyakan urusan seharian suaminya seperti mandi, menukar pakaian dan lampin pakai buang serta memberi makan minum dilakukannya sendiri.
Tambah wanita itu, kos rawatan, susu khas dan lampin pakai buang suaminya mencecah lebih RM2,500 sebulan.
“Kami bergantung kepada duit pencen suami sebagai pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sebanyak RM1,000 sebulan.
“Bagi menambah pendapatan, saya mengambil upah menenun songket dengan purata pendapatan kira-kira RM500 sebulan,” katanya.
Zaimah berkata, dia bersyukur kerana Jabatan Pembangunan Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Lorong Kemunting telah membantu menghulurkan sumbangan katil khas untuk keselesaan suaminya.
Katanya, mereka juga menerima bantuan Tabung Darul Iman yang disalurkan pada setiap tiga bulan sekali.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Zaimah bernombor 1110429821227946 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 0146266127.