fbpx

Penduduk Gua Musang jadi stres gara-gara jalan sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BULATAN menghala ke Kampung Tanah Putih di Gua Musang sesak dengan kenderaan ketika waktu pagi dan waktu puncak.

GUA MUSANG – Penduduk di lebih 10 kawasan yang tinggal berhampiran kawasan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) sangat terkesan dengan penutupan jalan di situ yang menyebabkan rutin harian mereka berubah sejak seminggu lalu.

Antara yang terlibat ialah Taman Wangi, Taman Kesedar Jaya, Taman Kesedar Putra, Kampung Tanah Putih dan Projek Pe­nempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata mereka keluar seawal pukul 6.30 pagi untuk menghantar anak ke sekolah kerana bimbang terperangkap dalam ke­sesakan lalu lintas.

Seorang penduduk Taman Wangi di sini berkata, Siti Maisarah Ahmad, 36, berkata, rutin hariannya berubah selepas penutupan jalan berkenaan apabila terpaksa bersiap awal pagi untuk menghantar anak ke sekolah.

Katanya, dia me­nempuh ke­sesakan teruk pada waktu pagi untuk menghantar anak ke sekolah dan ke perlu ke tempat kerja selepas itu.

“Kami terpaksa keluar rumah lebih awal sejak seminggu lalu, namun tetap terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan anak-anak tiba lambat di sekolah,” katanya.

Ujarnya, dia sebelum ini ha­nya mengambil masa antara 10 hingga 20 minit untuk menghantar anak ke sekolah, namun kini menempuh perjalanan 40 hingga 50 minit.

Katanya lagi, jalan alternatif yang dicadangkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai banyak cabang atau persimpa­ngan sehingga turut mengundang ke­sesakan.

Seorang bapa, Muhammad Anuar Osman, 48, berkata, pihak berkuasa perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan pertambahan kenderaan yang melalui jalan alternatif.


KERJA-KERJA pembinaan LTU yang bermula dari Simpang Hospital sehingga Taman Damar dekat Gua Musang sejak 3 April lalu.

Katanya, bacaan tekanan darahnya sentiasa tidak normal ketika ini apabila perlu menghadapi kesesakan setiap pagi, selain berdepan dengan kerenah pemandu yang kurang sabar.

“Laluan berkenaan kini bukan sahaja menjadi tumpuan ken­deraan penduduk Gua Musang, tetapi juga kenderaan dari luar daerah itu.

“Kami dapat jangkakan pertambahan kenderaan bakal berlaku minggu depan apabila perantau mula pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung.

“Kami terkejut berlaku kejadian kemalangan yang melibatkan 15 murid cedera selepas bertembung dengan lori balak yang mengelak sebuah kereta dari simpang ketika melalui jalan alternatif berkenaan semalam (kelmarin).

Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua laluan utama di Gua Musang mulai sesak apabila ditutup sepenuhnya pada 3 April lalu untuk kerja-kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan LTU Pakej 3B dan 3C.

Ekoran itu, jalan menghala ke bandar Gua Musang bermula dari bulatan Tanah Putih ke simpang Kampung Pulai dan Jalan Kesedar Putra mengalami ke­sesakan hampir setiap hari.

Bagaimanapun, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT008 melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, FT 2744 (hadapan Hospital Gua Musang) dan FT2746 (Jalan Pulai).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI