PUTRAJAYA – “Saya hanya perlukan keuntungan RM50 sehari untuk memastikan anak isteri dapat beraya tahun ini,” itu rintihan seorang peniaga laksa, Muhammad Nadhzir Nazrin, 39.
Muhammad Nadhzir menarik perhatian ramai di beberapa kumpulan komuniti Facebook (FB) Putrajaya apabila dia berkongsi hebahan jualan laksanya sebagai ikhtiar terakhir mendapatkan wang bagi membeli kelengkapan Aidilfitri nanti.
Menerusi hantaran itu, bapa dua anak berusia empat dan tiga tahun itu nekad hanya mahukan keuntungan RM50 sahaja sehari menerusi jualan 50 bungkus laksa penang sehari.
Lebih manis, hantarannya itu kemudian tular sebelum dikongsi menerusi beberapa grup Facebook dan WhatsApp sebelum telefonnya dihujani mesej dan panggilan sejak malam tadi.
Muhammad Nadhzir berkata, dia kini mampu menarik nafas lega apabila jualan laksanya untuk baki 10 Ramadan terakhir sudah ditempah orang ramai untuk diinfak.
“Alhamdulillah, syukur dan saya amat berterima kasih kepada semua kerana membantu melariskan jualan laksa saya.
“Saya tidak menyangka hantaran itu tular kerana tujuan asal saya hanya untuk membuat hebahan jualan sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, jualan laksa itu adalah ikhtiar terakhirnya selepas segala usaha lain untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan Aidilfitri buntu.
Jelasnya lagi, dia memasang impian untuk membeli baju raya untuk anak dan isteri kerana sejak beberapa tahun lalu dia sekeluarga tidak mampu berbuat demikian.
Selain itu, Muhammad Nadhzir berkata, dia berdepan beberapa kesukaran dalam hidup sebelum ini malah, kini dalam proses pemulihan selepas dikesan mengalami kemurungan tiga tahun lalu. – KOSMO! ONLINE