fbpx

‘Saya berdoa kami sekeluarga dapat berkumpul, bergambar sama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID tidak putus berdoa mengharapkan agar isteri dan dua anaknya kembali ke dakapannya sekali gus dapat pulang beraya di Kedah tahun ini seperti kelaziman. Foto - AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Pelakon Farid Kamil meluahkan rasa sayu mengenangkan sambutan Aidilfitri kali ini apabila dia tidak akan dapat merakam gambar sekeluarga bersama isteri dan anak-anaknya.

Bagaimanapun, Farid, 42, tidak berhenti memanjatkan doa agar isteri, Diana Danielle dan dua anaknya kembali ke dakapannya tidak lama lagi.

“Saya tidak berhenti berdoa untuk bawa anak-anak dan isteri untuk balik ke kampung dan beraya seperti selalu di Kedah.

“Setiap kali pagi raya, kami satu keluarga akan mengambil gambar di tempat yang sama setiap tahun.

“Saya sangat-sangat berharap dan berdoa agar raya tahun ini kami satu keluarga dapat berkumpul sekali lagi,” ujarnya ketika ditemui usai prosiding sulh pertama yang diadakan di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun, prosiding tersebut hanya berlaku sebelah pihak apabila Diana tidak dapat menghadirkan diri.

Prosiding sulh kedua difahamkan akan berlangsung pada 25 Mei depan di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam.

Pada 20 Mac lalu, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap Farid atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut. Malah, pasangan itu difahamkan tidak lagi tinggal serumah.

Pada 24 Mac lalu pula, Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam membenarkan permohonan Diana secara ex-parte berhubung hak penjagaan hadanah interim (sementara) bagi dua anak mereka sehingga 30 Mei depan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, serta Nur Aurora, 8. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI