PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan siasatan berhubung dakwaan dua pelancong dicaj sehingga RM120 di sebuah premis gunting rambut di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya terkesan perkara tersebut di media sosial dan telah memulakan siasatan hari ini.
“Buat masa ini, kita akan siasat dahulu kerana premis tidak menyalahi sebarang peraturan sekiranya dia letak tanda harga dengan jelas,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Menurutnya, kenyataan lanjut akan dikeluarkan selepas siasatan selesai dijalankan.
Terdahulu, Kosmo, melaporkan satu pasangan pelancong dari Filipina dan England meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa dicaj gunting rambut melampau sehingga mencecah RM120.
Berdasarkan video dikongsikan TikTok Zoe&Czar, pasangan tersebut bertanyakan kepada pengguna media sosial sama ada mereka telah terkena ‘scam’ susulan harga dikenakan itu terlampau mahal. – KOSMO! ONLINE