fbpx

Dua lelaki ‘muka baharu’ tak sempat edar 18,000 pil kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas di Jalan Rantau Panjang, Pasir Mas pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini.- Foto KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Dua lelaki termasuk seorang warganegara Thailand yang dipercayai baru mula berjinak-jinak dalam kegiatan pengedaran sebanyak 18,000 pil kuda bernilai RM180,000 dicekup depan sebuah kedai di Jalan Rantau Panjang, Pasir Mas di sini kelmarin.

Suspek warga tempatan berusia 26 tahun dan rakannya 27 tahun ditahan kira-kira pukul 4.15 pagi semasa mereka berdua berada di atas sebuah motosikal jenis Honda Vario.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota polis yang menjalankan Ops Tapis Bersepadu telah menjalankan risikan sebelum menahan motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek.

Menurutnya, anggota polis kemudiannya menemui satu plastik yang digantung pada bahagian depan motosikal itu.

“Peneriksaan di dalam bungkusan itu menjumpai 80 peket yang mengandungi sebanyak 18,000 biji pil kuda.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua dadah itu dibawa masuk dari negara jiran secara haram untuk dijual di Kelantan, Lembah Klang dan beberapa negeri terdekat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, kesemua dadah tersebut boleh diedarkan kepada hampir 18,000 penagih dadah sekiranya ia terlepas ke pasaran.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu merupakan muka baharu yang mula berjinak-jinak untuk menjadi pengedar dadah selain mereka turut disyaki menjadi sebahagian ahli kumpulan sindiket penyeludupan dadah yang aktif di sempadan.

“Ujian saringan air kencing mendapati, suspek warga tempatan positif dadah jenis methamphetamine dan mereka berdua juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada kedua-dua suspek mempunyai hubungan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI