KUALA SELANGOR – Polis sedang mengesan dua kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang melakukan aksi berbahaya di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima dua rakaman video mengenai kejadian itu pukul 12.20 tengah hari semalam.
Katanya, video pertama memaparkan sekumpulan empat penunggang motosikal dengan jenis dan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.
“Dua daripada mereka melakukan aksi ‘wheelie’ iaitu mengangkat tayar dan bersaing sesama sendiri.
“Video aksi berkenaan dirakam oleh seorang lagi penunggang motosikal lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Ramli, video kedua turut memaparkan aksi sama dari seorang penunggang motosikal dengan kelajuan tinggi dengan disaksikan sekumpulan penunggang lain yang tidak dapat dipastikan jumlah sebenarnya.
“Kumpulan itu sedang berhenti dan berkumpul di tepi jalan di kawasan dipercayai Lebuh Raya LATAR.
“Justeru, kita sedang giat mengesan pemilik video dan semua penunggang motosikal tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, video itu akan dihantar ke Unit Forensik bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-KOSMO!ONLINE