MANILA – Filipina dan Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan tentera bersama terbesar mereka hari ini ketika dua sekutu lama itu berusaha menentang ketegasan China yang semakin meningkat di rantau Asia Tenggara.
Hampir 18,000 anggota tentera mengambil bahagian dalam latihan tahunan itu yang digelar Balikatan atau berganding bahu dalam bahasa Filipina. Balikatan kali ini adalah yang pertama disertai dengan latihan tembakan peluru hidup di Laut China Selatan. China menuntut hampir keseluruhan laut itu.
Latihan tentera hari ini menyusul selepas China menamatkan latihan latihan ketenteraan selama tiga hari semalam termasuk simulasi serangan bersasar dan kepungan ke atas Taiwan.
Balikatan akan menyaksikan helikopter-helikopter tentera mendarat di sebuah pulau milik Filipina di utara pulau utamanya, Luzon, hampir 300 kilometer dari Taiwan dan menawan semula sebuah pulau lain oleh pasukan amfibia.
Ia merupakan latihan tentera pertama diadakan di bawah pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos JR yang telah berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan AS selepas pendahulunya, Rodrigo Duterte memusnahkan perikatan itu.
“Untuk melindungi kedaulatan wilayah kita, kita benar-benar perlu mengadakan latihan bagaimana kita akan merampas semula pulau yang telah diambil daripada kita,” kata jurucakap latihan tentera Filipina, Kolonel Michael Logico kepada pemberita.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Manila dan Washington bersetuju untuk memulakan semula rondaan maritim bersama di Laut China Selatan dan mencapai perjanjian untuk memperluaskan penempatan tentera AS di Filipina.
Tentera AS akan dibenarkan menggunakan tambahan empat pangkalan tentera Filipina di bawah pakatan itu, termasuk pangkalan tentera laut tidak jauh dari Taiwan. – AFP