fbpx

JDT terlalu hebat, tiada saingan di Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DOMINASI pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super dijangka berterusan buat kali ke-10 berturut-turut pada tahun ini.

Apa tidaknya, baru memasuki lapan perlawanan, JDT sudah mula menjarakkan diri daripada pasukan di tempat kedua, Selangor dengan jurang lima mata.

Rekod pasukan JDT dalam Liga Super 2023 juga cukup mengujakan apabila berjaya mencatatkan kemenangan bersih lapan perlawanan dengan 36 gol dan satu bolos.

Menariknya, gergasi dari selatan tanah air itu bukan sahaja berjaya menewaskan pasukan-pasukan di dalam Liga Super, malah membelasah setiap lawan mereka tanpa belas kasihan.

Misalnya, menewaskan Negeri Sembilan dengan jaringan 7-0, Kelantan FC (5-1), Selangor (4-0), Sabah (4-0), Perak (5-0) dan mangsa terbaharu Kedah Darul Aman (KDA) FC (6-0).

Rekod tersebut memudahkan peminat bola sepak tempatan meramalkan bahawa JDT akan terus menguasai Liga Super, sementara pasukan-pasukan lain hanya bersaing untuk merebut tempat kedua dan ketiga dalam liga.

Berdasarkan prestasi semasa, peminat bola sepak juga menjangkakan, JDT akan turut menguasai piala-piala lain dalam Liga Malaysia (Liga M) seperti Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun ini.

Disebabkan itu, ada peminat bola sepak yang meminta supaya JDT menyertai liga lain di luar negara kerana terlalu kuat untuk pasukan-pasukan sedia ada di negara ini.

Ini menjadikan Liga M mudah diramal dan kurang kompetitif, sekali gus menyebabkan para peminat bola sepak berasa bosan. Dalam situasi ini, pasukan JDT tidak seharusnya dipersalahkan.

Sebaliknya, pasukan-pasukan lain harus mencontohi JDT sama ada dari aspek di dalam atau luar padang bagi merapatkan jurang yang terhasil.

Misalnya, mewujudkan fasiliti terbaik dan mewujudkan akademi belia yang mampan.

Biarpun dominasi ini dilihat memberi kesan negatif, namun dalam jangka masa panjang, JDT dapat membantu meningkatkan kualiti Liga M dan mengharumkan nama negara apabila menyertai Liga Juara-Juara Asia.

Malah, dominasi JDT dalam Liga M memberi kesan positif kepada skuad kebangsaan. Ini kerana, majoriti pemain yang dipanggil menyertai skuad negara adalah dari JDT, sekali gus mewujudkan lebih kefahaman ketika beraksi di atas padang.

Perkara sama turut dilakukan oleh negara kuasa bola sepak seperti Jerman apabila merekrut seramai mungkin pemain-pemain terbaik daripada kelab yang sama iaitu Bayern Munich.

Secara kesimpulannya, usaha merancakkan kembali Liga M dan mengurangkan dominasi JDT boleh dilakukan sekiranya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berani mengambil beberapa langkah segera.

Antara usaha yang boleh diambil FAM adalah mewajibkan setiap pasukan menurunkan pemain bawah 23 dan 19 tahun serta mengehadkan jumlah pemain import dalam setiap perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI