PETALING JAYA – Tular beberapa klip video di media sosial memaparkan seorang lelaki dengan lagak seperti ‘gangster’ bertindak mengganggu dan menyerang seorang wanita di hadapan sebuah restoran.
Menerusi perkongsian di Twitter, difahamkan kejadian berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Berdasarkan video yang dimuat itu, kereta wanita tersebut telah dihalang sebelum dia diserang secara seksual apabila meminta lelaki terbabit mengalihkan kenderaannya.
“‘You’ (awak) memang tak nak gerak eh? Saya tanya elok-elok tadi,” soal wanita itu.
Bagaimanapun, individu berkenaan dilihat enggan berbuat demikian sehingga salah seorang pekerja restoran berhampiran tampil memintanya untuk meletakkan kenderaan di petak parkir kosong.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai mengecam tindakan lelaki terbabit yang tidak bertanggungjawab.
“Memang wujud manusia macam ini. Dua minggu lalu aku kena benda sama. Dia halang parkir sampai sejam tunggu. Lepas datang, boleh pula dia cakap, (awak panggil polis baru saya alih),” kata blanc.
“Ada unsur ugutan jenayah iaitu Seksyen 506KK. Perangai mereka macam ini lah kalau nak tahu, cakap elok-elok tak paham,” ujar Aidil.
“Hubungi polis baru ada akal. Semakin hari semakin besar kepala aku tengok. Tambah sekali kalau mabuk, naik melampau,” jelas Noor Iman.
“Kalau jadi dekat aku, sumpah aku takut. Semoga berjumpa dan berurusan dengan org baik-baik ja,” kata Ayu. – KOSMO! ONLINE