fbpx

Mahkamah: Syed Shah Iqmal lepas, bebas tuduhan rogol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Shah Iqmal (kanan) bersama peguamnya selepas dilepas dan dibebaskan pertuduhan rogol semalam.

SHAH ALAM – Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam daripada tuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, empat tahun lalu.

Hakim Rihaida Rafie, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap pertuduhan yang dipertuduhkan terhadap Syed Shah Iqmal, 28, pada akhir kes pendakwaan itu.

“Selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan melalui saksi-saksi dan eksibit-eksibit, mahkamah memutuskan kes prima facie tidak berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan, “kata hakim itu.

Dalam prosiding semalam, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 April tahun lalu, seramai 18 saksi pendakwaan termasuk pengadu dalam kes itu dipanggil memberi keterangan.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini, pukul 11.35 malam, pada 11 September 2019.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam Syed Amirul ketika dihubungi hari ini berkata anak guamnya memanjat rasa syukur atas pembebasan daripada pertuduhan tersebut.

Kata peguam itu, Syed Shah Iqmal dalam luahannya berkata, “Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, berkat bulan 19 Ramadan ini, saya diputuskan tidak bersalah. Perkara ini saya terima sebagai hadiah untuk saya sekeluarga dalam membersihkan nama dan maruah diri.

“Terima kasih kasih kepada keluarga saya, sahabat handai dan semua yg sentiasa menyokong dan mendoakan. Tidak lupa juga kepada peguam yg telah bersama saya dari awal kes sehinggalah kini.” kata Syed Shah Iqmal.

Pada 31 Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal atas pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Syed Amirul untuk tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan itu.

Ia berikutan peguam Syed Amirul ketika berhujah berkata, alasan bahawa pengadu mengalami kemurungan dan berada dalam keadaan tidak baik untuk memberi keterangan merupakan suatu alasan yang goyah.

Menurutnya, wajar untuk berasa simpati kepada mangsa, namun mahkamah telah menetapkan sebanyak 13 kali tarikh termasuk sebutan kes namun pengadu sendiri telah menarik balik laporan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI