KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan, ekosistem dalam industri media ketika ini berdepan dengan pelbagai tekanan termasuk ekonomi.
Katanya, kementeriannya bersama kerajaan dalam usaha mencari penyelesaian terbaik untuk membantu golongan pengamal media.
“Kita lihat secara umum ekosistem dalam industri media hadapi beberapa tekanan dan dari segi undang-undang sedia ada tekanan yang dimaksudkan semestinya dari sifat ekonomi dan juga bakat atau tenaga kerja.
“Jadi mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita teliti dan sekiranya mana kita perlu wujudkan ataupun kita gubal apa-apa undang-undang baharu.
“Contoh seperti kita bincangkan sebelum ini dengan Majlis Media Malaysia, maka ini akan dapat disegerakan atau diselaraskan supaya ia bukan menepati citarasa masing-masing tetapi suai manfaat dengan keadaan dan keperluan semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama YB Fahmi Fadzil, di sini malam ini.
Tambahnya lagi, pihaknya mahu memastikan industri media di negara ini menjadi penghubung terbaik dalam menyampaikan segala berita dan maklumat yang sahih serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang tidak benar.
“Pertama, media dapat berfungsi sebagai ‘tiang seri’ kepada demokrasi untuk pastikan wujud ‘check and balance’ (semak dan imbang) dan dalam masa sama maklumat yang disampaikan itu tidak menjurus kepada yang tidak benar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE