fbpx

KPDN sasar 130,000 Bakul Rahmah dalam Fasa 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin (tengah) dan Pengarah Operasi Cawangan 99 Speedmart, Yong Eng Kwang (kiri) melakukan gimik Flag Off lori 99 Speedmart pada perasmian Bakul Rahmah di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini. Foto FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan 130,000 Bakul Rahmah bakal diagihkan dalam fasa kedua kepada golongan miskin tegar sehingga bulan Jun atau Julai tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini KPDN telah berjaya mengagihkan kira-kira 40,000 bakul Rahmah dalam fasa pertama agihannya.

“Sekiranya KPDN berjaya mengagihkan 130,000 Bakul Rahmah dalam fasa kedua, ia bermakna kita menyantuni 100 peratus isi rumah dalam kategori miskin tegar.

“Ini adalah sasaran kami kerana masih lagi terdapat peluang serta ruang untuk sesi libat urus bersama agensi-agensi, pihak swasta, firma-firma tempatan mahupun antarabangsa,” jelasnya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bakul Rahmah Sumbangan 99 Speedmart Sdn Bhd di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di sini petang tadi.

Justeru, beliau juga yakin sasaran dalam membantu golongan miskin tegar berkenaan akan dapat dicapai menjelang Jun atau Julai nanti.

“Setakat ini, kita telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 80,000 Bakul Rahmah manakala agihan hampir 40,000 bakul dalam fasa satu.

“Selagi mana Inisiatif Payung Rahmah berjalan, ekosistemnya akan sentiasa diperbaharui dengan melakukan nilai tambah, kajian dan beberapa siri bengkel sumbang saran. Insya-Allah, kita akan dapat laksanakan pada fasa berikutnya,” ujarnya.

Mengulas lanjut program berkenaan, Salahuddin berkata, pihak 99 Speedmart menyumbang 20,000 Bakul Rahmah yang bernilai RM1 juta untuk diagihkan kepada golongan sasar di seluruh negara secara berperingkat.

“Pengagihan Bakul Rahmah ini akan dilaksanakan bersama rakan strategik utama Kementerian, Yayasan Rahmah Malaysia.

“KPDN amat berbesar hati untuk menerima sumbangan berbentuk makanan harian daripada semua pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan, konsisten dan bersasar,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN berharap agar lebih banyak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat serta dermawan dapat bersama Kementerian dalam menggembleng tenaga dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar sekali gus menjayakan Inisiatif Bakul Rahmah. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI