KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran bersikap terbuka dengan cadangan untuk memberikan pilihan kepada pencarum berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Cadangan itu dibangkitkan setelah usul tersebut dibenarkan untuk dibahas oleh 12 Ahli Dewan Negara, hari ini.
Mengambil bahagian perbahasan, Senator Datuk Razali Idris berkata, amat menggusarkan apabila rakyat di luar sana bersuara mengenai kuasa membeli yang telah hilang terutama di bazar Ramadan dan raya.
“Begitu banyak hujah dimainkan iaitu kerajaan kena jaga masa hadapan rakyat. Namun sebagai kerajaan, adalah tidak masuk akal untuk bercakap mengenai masa hadapan jika waktu sekarang diabaikan.
“Tindakan itu juga diibaratkan seperti merampas masa hadapan mereka dan ia adalah tidak bermoral untuk berbuat demikian,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Razali mencadangkan pengeluaran penuh KWSP pada usia 55 tahun boleh digantikan dengan pengeluaran secara ansuran selama lima tahun dan tidak melebihi 20 peratus daripada jumlah simpanan.
“Sebagai contoh, Puan Kiah memerlukan pengeluaran RM10,000 bagi menyelamatkan rumahnya dari dilelong.
“Pada usia 55, Kiah mempunyai simpanan RM100,000 dengan skim pengeluaran ansuran sebanyak 20 peratus setahun, dan kadar dividen dianggarkan lima peratus setahun.
“Selepas itu, Kiah bakal mempunyai tambahan simpanan KWSP sebanyak RM11,000. Ini adalah satu cadangan yang amat bernas untuk membantu keluarga tersebut daripada hilang tempat tinggal,” ujarnya.
Sementara itu, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata, kerajaan perlu melihat pengeluaran itu daripada sudut mata rakyat yang mana mereka mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.
“Isu dibangkitkan hari ini adalah suara rakyat di bawah. Pertama bagi saya, rakyat melihat kaedah yang dimumkan kerajaan hari ini adalah seperti menjerat mereka.
“Mereka perlu diberi pilihan. Kalau satu golongan pencarum nak meminjam di bank, berikan kepada mereka. Kalau ada pencarum nak keluar terus daripada KWSP, berikan peluang kepada mereka.
“Inisatif hari ini dikatakan tidak mesra pencarum dengan kadar faedah dikenakan pula lima peratus. Bukankah ini menekan rakyat untuk jangka masa panjang.
“Sebenarnya rakyat memerlukan wang itu hari ini untuk selesaikan masalah hari ini dan kita bersuara bukan sebab retorik politik,” katanya.
Dalam pada itu, Senator Husin Ismail berpandangan, KWSP wajar dipinda kepada simpanan bukan sahaja untuk kegunaan masa tua.
“Dalam banyak-banyak pindaan, ada ruang tak KWSP ini dipinda selain bekalan masa tua dan untuk masa sempit kerana masa kritikal inilah yang perlu dibantu.
“Saya sebut perkara ini supaya dapat meluaskan lagi fungsi KWSP dalam waktu sebegini. Kalau kita merupakan kerajaan rakyat, rintihan rakyat perlu didengar kerana mereka kita ada di sini,” ujarnya.
Husin menjelaskan, pilihan yang ada ketika ini hanya melibatkan bayaran berganda dan bakal menyebabkan rakyat membuat pinjaman kepada ah long yang merupakan jalan popular ketika kritikal.
Bagaimanapun, Senator Datuk Kesavada A. Achythan Nair menyatakan obsesi untuk mengeluarkan caruman KWSP akan menganiaya semua pencarum lain.
“Dua kali pengeluaran sebelum ini adalah berbeza dengan sekarang yang mana waktu itu adalah tempoh pandemik.
“Kita tak boleh biarkan KWSP ini seperti satu-satunya cara yang boleh menyelamatkan keadaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE