PONTIAN – Setelah bertukar ‘status’ dari Jalan Kampung Ulu Pulai kepada laluan utama Pontian ke Johor tahun 2000, penghuni sebuah rumah yang kedudukannya di selekoh berasa bimbang sepanjang masa.
Hal ini kerana dalam tempoh tersebut banyak kenderaan termasuk kereta, motosikal dan lori terbabas melanggar rumah itu kerana beranggapan ia merupakan jalan yang lurus.
Penghuni rumah tersebut, Nurul Hassan, 37, berkata, kejadian terbaharu pada petang Jumaat lalu apabila sebuah lori yang membawa muatan besi terbalik dan menghempap bahagian dapur rumahnya.
Katanya, ketika kejadian tersebut berlaku dia bersama ibunya, Rusliah Jaafar, 76, pergi membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan Gelang Patah dan terkejut apabila sampai ke rumah mendapati kediaman mereka dirempuh .
Kata Nurul, mujur tiang elektrik di hadapannya menjadi penghalang menyebabkan kenderaan tersebut terbalik dengan membawa masuk sekali tanah ke dalam dapur dan merosakkan atap rumahnya.
“Walaupun Jabatan Kerja Raya telah memasang tembok penghadang pada tahun 2014 lalu, namun bukan jaminan dia sekeluarga terselamat daripada kejadian seumpama itu lagi.
“Jika nak ambil kira lebih daripada enam kejadian rempuhan berlaku ke atas rumah peninggalan arwah bapanya,” katanya ketika ditemui di Kampung Ulu Pulai, di sini.
Tambah Nurul, setiap kali berlaku pelanggaran mereka tidak mendapat ganti rugi sepenuhnya kerana janji pihak yang merempuh rumah tidak ditunaikan.