fbpx

Dewan Negara: RUU Kewangan 2023 berkait cukai diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2023 diluluskan hari ini bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentangkan buat bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong dan dibahas tujuh Ahli Dewan Negara.

Ia susulan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan kepada akta-akta berkaitan.

Antaranya adalah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Hartanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum Cukai Pendpatan 1967 dan Akta Kewangan 2018.

Mengulas mengenai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang dibangkitkan, Steven Sim berkata, RUU tersebut bertujuan untuk mengembalikan perkara itu.

“Suka cita saya maklumkan RUU tadi adalah untuk memulihkan semula pelepasan cukai SSPN.

“Bila kata tahun taksiran pada 2024 sebenarnya ia merujuk tahun membayar cukai pada 2025. Jadi, ia akan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2024,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Kewangan 2023, di Dewan Negara, di sini hari ini.

Tambah Steven Sim, dasar SPPN itu juga akan dikaji dari masa ke semasa bergantung kepada keadaan kewangan negara.

Dalam pada itu, berkenaan pelepasan cukai untuk anak-anak orang kelainan upaya (OKU) disifatkan tidak mencukupi, Steven Sim berkata, ia merupakan permulaan.

“Dahulu tidak ada pelepasan cukai RM4,000. Jadi ini adalah penambaikan, satu dasar baru diperkenalkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita kena lihat secara gambaran menyeluruh. Pelepasan cukai untuk anak-anak OKU bawah 18 tahun sebenarnya tidak terhad sampai di situ sahaja.

“Anak OKU yang telah disahkan JKM dibenarkan pelepasan sebanyak RM6,000, kemudian pembelian peralatan sokongan asas diberikan pemotongan RM6,000 lagi. Jadi, jumlah keseluruhan adalah sehingga RM16,000,” ujarnya.

Pada sama, Steven Sim memberitahu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela.

“Melalui program itu, penalti yang ditawarkan bukan empat atau lima peratus tetapi kosong peratus bermula 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.

“Jadi, mana-mana individu yang tidak berkemampuan dan tidak pernah mengiktiraf cukai boleh membuat pengakuan sukarela kepada LHDN,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI