AUGUSTA, Amerika Syarikat (AS) – Pemain golf Sepanyol, Jon Rahm melakukan kejutan apabila menjuarai gelaran Masters dengan kelebihan empat pukulan di Lapangan Nasional Augusta awal pagi semalam.
Meskipun ketinggalan di belakang jaguh golf AS, Brooks Koepka sehingga ke pusingan kedua, namun ia tidak memberi masalah kepada Rahm untuk bangkit pada pusingan terakhir selepas melakukan tiga di bawah par 69 pukulan.
Aksi cemerlang di pusingan terakhir tersebut membolehkan Rahm menamatkan saingan dengan catatan 12 di bawah par keseluruhan untuk mendahului carta pendahulu dengan meninggalkan Koepka dan Phil Mickelson yang terikat di kedudukan kedua selepas melakukan lapan di bawah par.
“Saya tidak pernah panik dan saya berasa selesa beraksi di luar sana.
“Itu sahaja yang boleh saya lakukan untuk bermain dengan baik,” kata Rahm.
Pada saingan itu, Rahm memulakan pusingan terakhir dengan dua pukulan di belakang Koepka, tetapi mendahului saingan di lubang keenam apabila Koepka melakukan bogey.
Kemenangan tersebut membolehkan Rahm kembali merampas ranking nombor satu dunia dan menambah koleksi gelaran kejuaraan utama kedua selepas pemain golf berusia 28 tahun itu menjuarai Terbuka AS pada 2021.
Lebih manis, Rahm juga menjadi pemain keempat Sepanyol memenangi Masters sekali gus mengikut jejak langkah Seve Ballesteros, Jose Maria Olazabal dan Sergio Garcia.
Rahm juga berjaya menyarung jaket hijau dan memenangi hadiah utama bernilai AS$3.24 juta (RM14.28 juta) daripada hadiah keseluruhan berjumlah AS$18 juta (RM79.33 juta). – AGENSI