KEBAYA merupakan busana yang timeless atau tiada sempadan masa dan boleh digayakan bukan sahaja semasa Hari Raya Aidilfitri, tetapi juga ketika menghadiri acara-acara formal.
Malah, satu ketika dahulu, kebaya juga merupakan pakaian harian bagi kebanyakan wanita sama ada yang muda mahupun yang sudah berusia.
Keunikan busana kebaya terletak pada potongannya yang cantik dan dalam masa sama mampu menyerlahkan bentuk badan si pemakai.
Penggemar busana tradisional pastinya biasa mendengar nama Afiq Mohamed atau lebih dikenali sebagai Afiq M. Kenangan melihat arwah nenek yang gemar memperagakan kebaya sebagai pakaian harian satu ketika dahulu menjadikan Afiq M mempertaruhkan rekaan kebaya untuk koleksi Aidilfitri di bawah labelnya tahun ini.
“Bagi koleksi Aidilfitri 2023, label Afiq M mengembalikan gaya menawan daripada busana kebaya, namun kali ini dalam fabrik yang lebih selesa.
“Hal ini kerana apabila bercakap tentang kebaya, kita sering akan membayangkan satu persalinan yang ketat atau betul-betul mengikut lekukan tubuh.
“Namun, kali ini saya mahu tampil sedikit berbeza dengan mengetengahkan rekaan kebaya dalam fabrik yang selesa dan potongan yang longgar,” ujarnya kepada Stailo.
Tambah Afiq M, idea untuk mengembalikan pesona busana kebaya timbul apabila dia melihat koleksi gambar-gambar lama milik arwah neneknya.
“Sejujurnya tahun ini, saya kerap teringatkan arwah nenek dan apabila saya melihat gambar-gambarnya ketika muda, saya dapati arwah nenek gemar menggayakan kebaya sebagai pakaian harian dan daripada situ timbul idea untuk mempertaruhkan rekaan kebaya,” jelasnya.
Penggunaan fabrik kapas dan juga fabrik berenda menjadikan setiap koleksi Afiq M tampak mewah.
Rona-rona elegan seperti hitam dan juga merah pekat menyerlah penampilan si pemakai pada pagi Aidilfitri.
Bagi wanita yang gemarkan gaya bold, koleksi kali ini turut didatangkan dalam rona-rona berani seperti kuning dan juga ungu terang.
Jelas Afiq M, bagi koleksi kali ini juga, dia menampilkan kebaya dengan potongan pinggang tinggi yang menjadi signaturnya sejak mula menceburkan diri dalam bidang fesyen tanah air.
Ujarnya lagi, secara peribadi, dia paling menyukai rekaan yang dinamakan Salmah yang merupakan sepasang kebaya putih fabrik kapas yang dipadankan dengan sehelai selendang rona sama.
“Bagi saya, kebaya ini bukan sahaja selesa tetapi juga cukup stylish dan boleh dipakai pada bila-bila masa,” jelasnya sambil menambah bahawa rekaan tersebut juga turut diinspirasikan daripada gaya aktres terkenal tanah air, Allahyarham Puan Sri Saloma.
Jelas Afiq M lagi, dia berharap agar penggemar busana klasik khususnya kebaya boleh menggayakan koleksi Aidilfitri rekaannya.
“Jenama Afiq M sudah pun mempunyai pengikutnya yang tersendiri, namun tahun ini, saya gembira apabila mendapat tahu ramai pembeli membeli busana rekaan saya buat pertama kali dan saya amat gembira,” ujarnya.
Setiap busana Afiq M dijual pada harga antara RM450 sehingga RM520 setiap satu dan boleh dibeli di laman web Zalora.