fbpx

Aura hero 52 tahun, Zamarul Hisham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMARUL HISHAM

MILIKI aura yang mampu menusuk rasa, sebenarnya tidak hairan untuk aktor senior yang kembali menjadi sebutan ramai, Zamarul Hisham mampu bertahan lebih tiga dekad hasil tuaian bakat dalam industri sinema tanah air.

Lebih membanggakan, pada usia mencecah 52 tahun yang jatuh pada 9 Mac lalu, bapa kepada lima cahaya mata itu terus menjadi rebutan rumah produksi dan penerbit.

Menyingkap fenomena yang dicetuskan ketika memegang karakter suami baran dalam drama Aku Tanpa Cintamu pada September tahun lalu, siapa sangka, tidak setengah tahun, namanya kembali meledak.

Andai dahulu dibenci, kali ini menerusi telefilem Saat Hilang Cintamu siaran TV3 pada 25 Mac lalu, penonton menitiskan air mata melihat kesengsaraan yang ditanggung watak Razil lakonanmnya sebagai suami dizalimi isteri sendiri.

WATAK sebagai suami teraniaya yang dicurangi isteri dalam Saat Hilang Cintamu memanaskan kembali nama Zamarul Hisham sehingga diperkatakan generasi muda bahkan remaja belasan tahun yang barangkali tidak pernah kenal era ‘Blok 404’. – FARIZWAN HASBULLAH

Impak industri

Dalam sekelip mata, nama Zamarul terus melonjak menjadi meniti di bibir khalayak. Bukan sahaja peminat yang membesar dengan lakonannya, bahkan golongan belasan tahun yang barangkali kenal namanya menerusi TikTok.

Menganggap semua itu sebagai rezeki, Zamarul menyifatkan penghayatan yang mengesankan penonton dalam setiap karakter lakonan sebagai satu kepuasan.

“Sejujurnya saya terkejut bila tengok impak kedua-dua naskhah itu yang cukup kuat, namun semua ini rezeki dari Allah selain kekuatan karya yang mengangkat kisah benar sebagai plot.

“Mainan perwatakan barisan pelakon lain yang mantap juga antara faktor menjadikan setiap inti pati kisah ini sampai kepada maksud yang ingin diterjemahkan.

“Saya pun terkejut selepas dapat kumpul peminat generasi baharu dalam kalangan yang berusia belasan tahun ke atas. Ini juga tunjuk impak bagus buat drama tempatan,” kongsinya.

ZAMARUL menganggap pujian sebagai penyuntik semangat untuk terus memberikan penjiwaan terbaik dalam setiap naskhah lakonan.

Jangan riak

Menerusi sosial media, beraja pelbagai komen yang berbaur hiba, lara dan tidak sanggup melihat kesetiaan Razil diperkotak-katik isteri, Salina lakonan Rita Nadira.

Tidak kurang juga yang tidak boleh ‘move on’ sehingga memuat naik babak telefilem tersebut dalam TikTok. Malah ada peminat lebih berani apabila membuat gambar kolaj bersama pelakon berlesung pipit itu.

Tersenyum memikirkkan reaksi ramai yang menangis bersama tatkala menyaksikan Razil dicurangi, akui Zamarul, air matanya bukan dibuat-buat.

Cerita yang diangkat daripada kisah benar berlaku di Utara tanah air itu tentu saja menyentuh mana-mana hati sehingga babak tersebut benar-0benar berbekas.

Baginya, pujian dilayangkan peminat dilihat sebagai penyuntik semangat, namun pada masa sama tetap berpijak di bumi nyata supaya tidak mudah bangga diri.

“Senang cerita saya elakkan daripada terlalu selesa. Apabila dipuji kita kena tengok juga kalau ada kelemahan. Perbaiki sebab diberikan watak dalam sesebuah karya adalah amanah besar.

“Apa pun saya sangat hargai sokongan ramai yang menghargai kesungguhan penggiat seni tanpa mengira usia seseorang pelakon,” ulasnya lagi.

ZAMARUL disifatkan peminat sebagai hero versatil yang mampu menggalas pelbagai karakter dengan meninggalkan impak besar terhadap khalayak.

Buka jalan ‘hero’ lain

Menurut Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-18 itu, penerimaan ramai terhadapnya secara tidak langsung membuka jalan kepada rakan seperjuangan lain untuk terus diberi kepercayaan.

“Hakikatnya usia hanya angka. Industri kita ada ramai aktor hebat lain yang sudah melepasi angka 45 tahun ke atas seperti Fauzi Nawawi dan ramai lagi.

“Bersandarkan portfolio, saya yakin ramai lagi rakan pelakon lain layak diberikan tanggungjawab sebagai hero. Apabila drama saya mencetuskan fenomena, secara tidak langsung buka jalan untuk mereka.

“Itu antara perkara yang bermain di fikiran saya selama ini. Tengok saja Datuk Rosyam Nor, sehingga sekarang masih dapat ‘dijual’ di layar perak dan menjadi hero kegemaran,” tambahnya.

ZAMARUL anggap berharap persembahan berimpaknya menerusi telefilem Saat Hilang Cintamu akan memberikan keyakinan kepada khalayak dan stesen televisyen bahawa pelakon senior seperti harus mendapat peluang sama rata seperti pelakon muda dan popular ketika ini.

Main TikTok

Mengikuti perkembangan semasa, Zamarul tidak menolak perkembangan media sosial dalam merapatkan hubungan dengan penyokong setia untuk bertahan sampai sekarang.

Selain Instagram, dia mengakui mula menggunakan TikTok sejak setahun lalu bagi berkongsi cerita.

“Saya jenis yang ‘simple’ tetapi tetap ambil tahu pasal perkembangan teknologi. Apabila diperkenalkan kepada TikTok, saya mula-mula rasa skeptikal sebab fikir nanti khalayak melihat Zamarul yang berbeza dari dalam skrin.

“Sekarang boleh dikatakan saya makin aktif dalam media sosial supaya dapat berkongsi perkembangan dan mendekati peminat dengan berkongsi video. Itu juga tanda terima kasih saya kepada peminat,” luahnya.

ZAMARUL turut mendekati peminat menerusi TikTok.

Hargai, biar berbaloi

Tidak meletak harga melambung walau kini nama sedang memuncak, jauh di sudut hati Zamarul berharap produser dapat menghargai nilai seseorang pelakon dengan memberikan kadar bayaran setimpal.

Katanya, biarpun memahami industri lakonan tempatan tidak besar, namun situasi tersebut wajar diberikan perhatian supaya setiap pihak mendapat ganjaran bertepatan dengan usaha mereka.

“Saya percaya semua pihak semakin bijak menilai ‘harga’, namun pada masa sama saya bukan jenis mendesak atau meminta-minta,” ujarnya yang kini diajukan beberapa tawaran lain.

ZAMARUL pernah menjulang trofi impian ramai aktor, Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Blok 404.

Bisnes hiasan dalaman

Selain aktif di pentas lakonan, Aktor Terbaik di Anugerah Skrin 2008 itu sebenarnya punya sentuhan emas dalam bab dekorasi dan hiasan kediaman.

“Sejak dahulu saya sudah memulakan perniagaan berkaitan seni dan rekaan, cuma kerana kekangan masa saya hanya dapat ambil projek hiasan dalaman tertentu.

“Ini juga antara perniagaan untuk masa depan tetapi pada masa sama saya akan terus berlakon selagi diperlukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI