PETALING JAYA – Kejadian pelakon Kamal Adli dipukul lelaki tidak dikenali di Singapura pada bulan lalu tidak membuatkan aktres Raysha Rizrose yang juga adik iparnya terdetik untuk menggunakan khidmat pengawal peribadi.
Bagi Raysha, dia yang hanya ditemani pembantu sepanjang masa sebaliknya akan lebih berjaga-jaga dan berserah kepada Allah sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
“Jika pasang 10 pengawal peribadi pun kalau perkara mahu terjadi, akan berlaku juga.
“Kita tidak dapat mengawal apa-apa yang akan terjadi kelak. Bagi saya, sampai bila mahu ada pengawal peribadi setiap masa.
“Setakat ini saya cuma ada pembantu yang akan menemani. Selebihnya memang tawakal dan tidak boleh mengawal apa akan terjadi,” kata pemilik nama lengkap Farza Naquraisha Mohd. Fariz itu.
Raysha yang ditemui semasa majlis tayangan program raya Astro 2023 baru-baru ini berkata, suaminya sering menasihati agar lebih berjaga-jaga apabila pergi ke mana sahaja.
“Suami pun suruh saya berhati-hati dan mengingatkan untuk membawa peneman jika ke tempat penggambaran,” ujarnya pendek.
Disoal sama ada dia terkesan dengan insiden yang menimpa Kamal, pelakon drama Bisik Bisik Gelora itu enggan mengambil mudah dengan apa yang berlaku walaupun perkara tersebut tidak terjadi di depan matanya.
“Saya tidak tahu sama ada paranoid atau tidak kerana insiden tersebut tidak jadi di depan mata sendiri. Cuma saya akan lebih berhati-hati dan sentiasa ditemani oleh pembantu saya ke mana jua.
“Kalau dahulu saya okey sahaja untuk berjalan seorang diri tetapi sekarang akan ada orang menemani,” tuturnya.
Dalam kejadian pada bulan lalu, Kamal diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan menggunakan cota besi ketika berjualan di tapak ekspo Jualan Mega Hari Raya 2023 di Singapura.
Kesan pukulan tersebut, suami kepada Uqasha Senrose itu mengalami kecederaan parah dan selamat menjalani pembedahan akibat luka besar dialaminya.
Selepas kejadian, pelaku sudah ditahan pihak polis Singapura dan direman selama tiga minggu di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemerhatian psiakiatri.
Pada 4 April lalu, Mahkamah Singapura menetapkan suspek yang ditahan atas tuduhan memukul dan menyerang aktor itu tidak dibenarkan ikat jamin.
Kes tersebut dilanjutkan selama empat minggu bagi membolehkan pegawai penyiasat melengkapkan siasatan. – KOSMO! ONLINE